Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Cerita Hantu - Hospital

 Image result for blog kisah seram

Dunia Seram - Salah satu peristiwa karut dan tidak benar yang aku tidak pernah alami ialah ketika aku menemani isteriku yang dimasukkan ke wad di sebuah hospital swasta Kuantan pada pertengahan tahun lepas. Pada ketika itu aku dan isteri aku ditempatkan di sebuah wad berkatil enam, tetapi hanya kami berdua yang berada di dalam bilik tersebut. Ketika itu bukan main gembira lagi kami berdua kerana bebas melakukan apa sahaja dalam bilik yang sebegitu luas itu. Tidak ada apa-apa kejadian berlaku sehinggalah pada hari kedua aku di sana. Ketika itu aku dan isteriku terpaksa berada di makmal untuk menjalani beberapa ujian. Pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar menyebabkan aku dan isteri aku tertahan di sana daripada waktu pagi sehingga waktu tengahari.
Setelah pemeriksaan selesai, aku dan isteriku pulang ke wad dan aku terkejut melihatkan satu bungkusan hadiah berada di atas katil isteriku. Setelah aku amati ternyata hadiah itu datangnya daripada rakan-rakanku sepejabat. Aku pada mulanya tertanya-tanya kenapa mereka tidak menunggu kami tetapi kemudiannya menganggap bahawa mereka mungkin kesuntukan masa. Lagipun kami lama berada di makmal, jadi tentulah mereka ada hal lain yang perlu diuruskan. Jadinya aku tidaklah terlampau memikirkan mengenai perkara tersebut.
Setelah isteriku keluar daripada hospital aku ke pejabat seperti biasa. Apabila aku bertemu teman-teman, aku mengucapkan terima kasih di atas kesudian mereka melawat aku dan isteriku di hospital disamping meminta maaf kerana aku tidak dapat bertemu mereka ketika lawatan mereka. Mereka terkejut kerana mereka sememangnya ada bertemu aku di sana. Malah mereka berkeras menyatakan bahawa mereka sempat berbual-bual panjang dengan aku tentang keadaan isteriku. Aku pula yang merasa pening dengan dakwaan mereka itu kerana mereka bersungguh-sungguh benar menegaskan bahawa akulah yang berada di situ. Tambahan lagi seorang kawan aku berkeras menegaskan bahawa dia pasti akan sedar sekiranya orang lain yang mereka temui kerana mereka bukan baru ini kenal diri aku.
Pada mulanya aku menganggap mereka bergurau tetapi mereka bersungguh- sungguh meyakinkan aku bahawa mereka ada bertemu dan berbual-bual dengan aku di sana. Setelah beberapa orang berkata sedemikian, aku mempercayai kata-kata mereka tetapi aku tetap menafikan ada bertemu dan berbual-bual dengan mereka kerana ketika itu aku sememangnya berada di makmal dengan isteriku. Kawan-kawanku pula pada mulanya menyangka aku cuba mempermain- mainkan mereka sehinggalah aku terpaksa menafikan berkali-kali pula bahawa aku ada berbual dengan mereka ketika itu. Peristiwa tersebut menimbulkan kesedikit keributan di pejabat apabila masing-masing mengemukakan pendapat masing-masing sehingga akhirnya perkara itu tergantung begitu sahaja.
Ada di antara mereka yang mengatakan bahawa aku cuba memperolok-olokkan mereka dan ada juga yang mempercayai cerita aku. Pendapat aku sendiri??? Ah... entahlah. Aku pun tidak tahu apa yang hendak aku katakan. Cuma aku berasa bersyukur bahawa aku cuma mengetahui mengenai perkara tersebut selepas aku keluar daripada wad itu. Juga bahawa isteri aku tidak tahu apa-apa mengenai perkara tersebut.
Sehingga kini yang menjadi kemuskilan kepada aku adalah sekiranya aku berada di makmal bersama isteri aku, siapa pula yang berbual-bual dengan rakan-rakan sepejabat aku. Dan sekiranya ada orang lain yang cuba menyamar, tentu rakan- rakan aku akan mengenali bahawa bukan aku yang berbual-bual dengan mereka. Dan sekiranya bukan orang yang menyamar sebagai aku, makluk apa pula yang berbual-bual dengan rakan-rakanku dan apa pula matlamatnya? Apakah yang dikehendaki daripada diri aku ini?
Tambahan pula semenjak kejadian itu, aku selalu pula merasakan seperti diekori oleh sesuatu. Seram bulu roma aku setiap kali mengingati perkara tersebut. Aku tidak pernah menceritakan perasaan aku kepada isteriku dan aku tidak tahu apakah itu hanya mainan minda dan hanyalah merupakan perasaan aku semata- mata? Mungkinkan aku terlalu letih kerana melayan isteri aku ketika dia di wad dahulu, atau mungkin .... Ahh!!! pedulikan sahaja. Asalkan isteri aku selamat tidak ada apa yang aku perlu bimbangkan.
Walau bagaimanapun aku terpaksa mencurahkan isi hatiku dalam laman web ini pada malam yang sunyi ini. Mungkin aku tidak akan berpeluang lagi untuk berbuat sedemikian di masa yang lain. Ini adalah kerana kebelakangan ini aku merasa semakin resah, seolah-olah ada sesuatu akan berlaku terutama ketika hujan lebat seperti sekarang ini. Risau. Rimas tidak menentu. Seolah-olah dikejar sesuatu yang tidak nampak. Aku bingung tidak tahu ke mana atau mengapa aku mesti pergi. Tambahan pula .......Eh.. bunyi apa pula di belakang aku sekarang ini. Mungkinkah??? mungkinkah dia mengikuti aku pulang? Mungkinkah dia hendak mengambil alih tempat aku? Sekiranya begitu apakah yang akan terjadi kepada aku? Aku...... Aku mesti peeeeeeerrrrrrrrrggggggggiiiiiiiiiii....

Posting Komentar untuk "Cerita Hantu - Hospital"